Perak Terus Lesu- Mutu Pengadilan Buruk Terus Melanda Liga Super





Perak terus gagal mencatat kemenangan untuk perlawanan keempat berturut-turut apabila sekadar seri 1-1 dengan Harimau Muda A pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam tadi. Kali terakhir skuad Kejor Yob Kejor mencatat kemenangan adalah pada 26 April lalu ketika mereka menewaskan Kuala Lumpur 5-3 di Ipoh dan mereka turut seri 0-0 ketika bertemu Pahang, Jumaat lalu.

Turun tanpa dua penggempur berbisa, Akmal Rizal Rakhli dan Razali Umar Kandasamy, jentera serangan Perak yang diterajui Shafiq Jamal dan Shazuan Ashraf Mathews tampak tumpul sepanjang separuh masa pertama.

Gol pertama Harimau Muda A hadir pada masa kecederaan babak pertama menerusi rembatan cantik Gary Steven Robbat yang gagal diselamatkan penjaga gol Perak, Nasril Nourdin. Namun Perak berjaya menyamakan kedudukan hanya seminit selepas babak kedua bersambung hasil sepakan kencang Wan Hossen Wan Ghani dari luar kotak penalti menewaskan Zamir Selamat.

Permainan seimbang kedua-dua pasukan selepas itu bagaimanapun direncatkan dengan mutu pengadilan buruk oleh Anuar Che Husin serta dua pembantunya, Busrah Eri dan Jais Bujang. Bagaimanapun, kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan untuk mereka sekadar berkongsi satu mata.

Jika dilihat perlawanan yang berlangsung malam tadi antara N.Sembilan menentang Kelantan juga, terdapat beberapa keputusan kontroversi pengadil dan penjaga garisan termasuk membatalkan gol pasukan Kelantan diminit akhir perlawanan, serta beberapa keputusan lain yang tidak memihak tuan rumah mahupun pasukan pelawat.

Sekali lagi persoalan timbul, adakah perlu pengadil import yang lebih berkualiti dan bijaksana dalam mengadili perlawanan seperti yang dilakukan oleh ISL - Indonesia Super League ? ..Isu pengadilan kurang baik sering timbul kebelakangan ini. Memang kita tahu, pengadil juga adalah manusia yang sering melakukan kesilapan, tetapi jika lebih dari 1-2 keputusan yang tidak tepat, ianya bukan sahaja boleh mengundang kontroversi bahkan merencatkan kerancakan permainan.

sumber / diedit : Kosmo

1 comment:

  1. FIFA nak siasat liga malaysia.. Adakah pengadil pun akan disiasat..? Kita nantikan.. ^^

    ReplyDelete

Popular Posts