50 MAUT TERKENA RENJATAN ELEKTRIK BANJIR DI THAILAND


BANGKOK: Banjir dilaporkan semakin buruk di ibu negara Thailand berikutan lebih banyak kawasan tenggelam manakala jalan raya tidak dapat dilalui. Lebih 50 penduduk dilaporkan maut akibat terkena renjatan elektrik sewaktu memindahkan barangan mereka ketika meredah banjir.

Ketua Jabatan Kawalan Penyakit, Dr Pornthep Siriwanarangsan melahirkan kebimbangannya berikutan semakin ramai penduduk yang terbunuh terkena renjatan elektrik. Beliau berkata, walaupun angka rasmi kematian akibat terkena renjatan elektrik ketika banjir masih lagi 17, lawatan beliau ke penempatan dan pertemuan dengan penduduk terjejas mendapati jumlahnya 50 kes.

Sementara itu, Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengarahkan penduduk berpindah dari kawasan Bang Phai, berikutan banjir semakin buruk. Bang Phai berada di daerah Bang Khae di Bangkok. BMA menyenaraikan kawasan daerah Bang Chan di daerah Klong Sam Wa di Bangkok sebagai kawasan dalam pemerhatian.

Gabenor Bangkok, MR Sukhumbhand Paribatra turut bimbang mengenai zon barat di ibu negara itu. “Sistem saliran air di sana tidak baik seperti di zon timur,” katanya. Kawasan yang dilanda banjir, Bang Khae dan Thawee Watthana adalah antara daerah di zon barat.

“Paras banjir kini melebihi satu meter,” kata Samart Khemthong, seorang daripada mangsa di sana. Kampungnya, Sakunthip berada berhampiran dengan terusan Thawee Watthana. Katanya 30 daripada 350 keluarga berkhemah di luar perkampungan mereka bagi menghalang harta benda mereka dicuri.

“Kami sangat memerlukan sebuah bot sekarang ini,” kata Samart. Sanya Sheenimit, yang mengetuai Jabatan Saliran dan Pengairan BMA berkata bahawa pegawai BMA menggunakan bot di kawasan barat yang dilanda banjir.

“Kami sudah memasang lebih banyak pam dan meletakkan penghadang air,” katanya. Sukhumbhand berkata, banjir menjadi ancaman di zon timur Bangkok selepas kerajaan mengarahkan pintu air di terusan Klong Sam Wa dialihkan.

“Lebih banyak tempat di zon timur termasuk kawasan perindustrian Bang Chan berisiko dilanda banjir,” katanya. – Agensi  

Sumber : bhonline

No comments:

Post a Comment

Popular Posts