TAN SRI MUSA HASSAN NAFI KAHWIN PENYANYI SYELLA KAMARUDIN



TAN SRI MUSA HASSAN NAFI KAHWIN PENYANYI SYELLA KAMARUDIN|BEKAS KETUA POLIS NEGARA KATA BUKAN DIRINYA



Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini menafikan tohmahan yang dilemparkan terhadapnya dalam beberapa blog kebelakangan ini bahawa beliau mendirikan rumahtangga dengan seorang penyanyi, Syella Kamaruddin baru-baru ini.

Menurut Musa, apa yang disiarkan dalam beberapa laman blog termasuk dakwaan beliau membelanjakan sejumlah RM15 juta untuk majlis perkahwinan itu sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan dirinya.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini, Musa, 60, berkata, segala apa yang ditulis dalam blog-blog itu kononnya beliau merupakan suami kepada Syella adalah fitnah.

"Itu bukan saya. Saya tidak terlibat dalam perkahwinan itu dan untuk makluman semua, saya masih mempunyai seorang sahaja isteri iaitu Puan Sri Juriah Ahmad. Janganlah ada yang cuba hendak fitnah saya.

"Jika betullah, majlis itu menelan belanja RM15 juta, saya pun hendak punya wang sebanyak itu. Cuma saya kasihan dengan pasangan pengantin itu (Syella dan suaminya) kerana mereka yang berkahwin, saya pula yang dapat nama," katanya sambil mengakui tidak mengenali penyanyi itu.

Beberapa keping gambar perkahwinan Syella atau nama sebenarnya Nurshid'la Ahmad Kamaruddin, 26, dengan pasangannya tersiar dalam beberapa laman blog sejak kebelakangan ini.

Antara maklumat yang disiarkan dalam blog itu adalah belanja majlis perkahwinan tersebut dianggarkan sebanyak RM15 juta, selain Syella menerima hadiah banglo bernilai RM5 juta, kereta Audi R8 berharga RM800,000, wang hantaran RM111,111, mas kahwin RM1,000, telefon bimbit, set mandian, alat solek, al-Quran, sejadah, telekung dan tasbih.

Berikutan tersiarnya gambar majlis persandingan itu, beberapa komen antara lain turut menghina bekas Ketua Polis Negara itu.

Musa dalam pada itu berkata, beliau akan menimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis blog yang menyebarkan fitnah tersebut.

Sementara itu, Syella gagal dihubungi untuk mendapatkan komennya berhubung isu ini. Bagaimanapun, dalam laporan perkahwinannya yang disiarkan dalam majalah URTV keluaran 1 Disember ini, Syella mengesahkan majlis pernikahan itu berlangsung pada 11 hingga 13 November lalu di ibu negara.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Menangis Dalam Hujan itu bagaimanapun enggan mendedahkan identiti suaminya sebaliknya memaklumkan kepada wartawan URTV, suaminya itu bukan seperti dihebohkan di Internet.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts