MALAYSIA VS JEPUN 21 SEPTEMBER 2011| TANPA WAN ZACK HAIKAL DAN IRFAN FAZAIL


DEBARAN semakin dirasai jutaan peminat bola sepak tanah air menjelang aksi skuad Olimpik negara menentang Jepun pada aksi pembukaan Kumpulan C, pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia di Stadium Tosu, Fukuoka malam esok.

Tinggal kurang 48 jam sahaja lagi, jurulatih skuad olimpik, Ong Kim Swee pastinya 'tidak senang duduk' ketika ini bagi memikirkan formula terbaik demi mengekang asakan anak-anak buah Takashi Sekizuka daripada bermaharajalela di gelanggang sendiri.

Perkhabaran kurang gembira lantaran dua tonggak, Mohd. Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Nor yang dikatakan masih belum cergas sepenuhnya juga langsung tidak menganggu 'kerja rumah' Kim Swee yang kini masih berteka-teki mengenai kesebelasan utamanya yang hanya dijangka diketahui selewat-lewatnya sebelum sepak mula bermula.

"Walaupun satu kerugian buat negara jika kedua-dua pemain itu tidak dapat diturunkan, saya tidak menganggap ia satu malapetaka memandangkan kita memiliki ramai lagi pemain yang sama hebat untuk menentang Jepun.

"Ketika ini, prestasi Wan Zack dan Mohd. Irfan masih dipantau rapi, justeru kesebelasan utama hanya akan saya umumkan menjelang perlawanan tersebut," kata Kim Swee semasa dihubungi di Jepun semalam.

Wan Zack dan Mohd. Irfan dikatakan mula dibelenggu kecederaan itu semasa dipinjamkan mewakili kelab Liga Corgon Slovakia, Vion Zlate Moravce selama dua bulan sebelum ini.

Masalah kecederaan pemain yang dihadapi Kim Swee begitupun turut melanda skuad Samurai Biru yang dikhabarkan bakal mengetepikan tonggaknya di bahagian tengah, Kosuke Yamamoto gara-gara kecederaan ketika beraksi di liga domestik Rabu lalu.

Jika Wan Zack tidak dapat diturunkan, aksi dua lagi tonggak negara, Mohd. Fandi Othman dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria sememangnya ditagih bagi mengkucar-kacirkan benteng pertahanan negara Matahari Terbit itu di bahagian sayap.

Kredibiliti pemain tengah, Abdul Shukor Jusoh dan K. Gurusamy juga wajib mendominasi corak serangan dari tengah padang sekiranya Mohd. Irfan terpaksa diketepikan sekali gus memberikan cabaran sengit kepada Gergasi Asia itu.

Skuad negara merupakan satu-satunya wakil dari Asia Tenggara yang layak ke pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012 selepas mengatasi saingan Pakistan dan Lebanon dalam dua peringkat awal sebelum ini.

Selain Jepun, turut diundi bersama skuad Olimpik negara dalam Kumpulan C ialah jaguh Asia Tengah, Bahrain dan Syria.

Dalam masa yang sama, mereka juga akan menggalas tanggungjawab mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA di Indonesia, November depan.
 
sumber : kosmo







tags : MALAYSIA VS JEPUN,KELAYAKAN OLIMPIK MALAYSIA VS JEPUN,MALAYSIA VS JAPAN 21 SEPTEMBER 2011, SENARAI PEMAIN MALAYSIA VS JEPUN,OLIMPIK MALAYSIA VS OLIMPIK JEPUN,WAN ZACK HAIKAL,IRFAN FAZAIL, KECEDERAAN WAN ZACK DAN IRFAN FAZAIL,

No comments:

Post a Comment

Popular Posts