Piala Dunia Wanita 2011 | Jepun Singkir Juara Bertahan Jerman

Berita Terkini Piala Dunia Wanita 2011 | Jepun Singkir Juara Bertahan Jerman di Suku Akhir


Pasukan tuan rumah dan juara bertahan, Jerman tersingkir daripada kempen Piala Dunia 2011 selepas tewas 0-1 kepada Jepun pada aksi suku akhir awal pagi semalam.  Selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada waktu permainan sebenar, Jerman dikejutkan dengan gol kemenangan Jepun yang diperoleh menerusi Karina Maruyama pada minit ke-108, sekali gus melenyapkan sorakan 26,067 penonton yang hadir.

Bagi Jerman selaku juara pada tahun 2003 dan 2007, ini adalah kali pertama mereka tewas pada kempen Piala Dunia sejak kalah 2-3 kepada tuan rumah, Amerika Syarikat (AS) pada aksi suku akhir 1999. Manakala ini adalah kejayaan pertama Jepun ke suku akhir selepas mara ke separuh akhir pada tahun 1995 di Sweden.

Selain pemain Jerman yang menangis selepas tamat permainan, jurulatih Silvia Neid dan Presiden Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB), Theo Zwanziger turut meratapi kekalahan itu. "Kekalahan ini sangat menyedihkan tetapi perkara ini sudah berlaku dan kehidupan perlu diteruskan," kata Neid.

"Kami akan berasa sedih untuk tempoh beberapa hari tetapi masih ada banyak kejohanan yang menanti kami. "Saya sedih kerana kami tersingkir daripada kejohanan ini kerana saya tidak fikir pasukan kami lebih lemah daripada Jepun, kami tidak menjaringkan sebarang gol dan sekiranya kamu tidak memberi tumpuan sepanjang permainan, kamu akan tewas."

Sementara itu, Perancis turut mengekori Jepun ke separuh akhir selepas menewaskan England 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti. Manakala Sweden pula menewaskan Australia 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir malam tadi. - AFP

No comments:

Post a Comment

Popular Posts